Soalan:
Assalamualaikum......
Saya ingin bertanya,
Bagaimanakah cara majlis akikah (cukur jambul) bayi yang benar2 dituntut oleh Islam.Adakah wajib menyembelih haiwan ternakan seperti kambing dan apakah yang perlu dilakukan semasa majlis diadakan? Harap pihak tuan atau puan dapat membantu saya.
Ruziena Ahmad (ujie_09@yahoo.com.my)
Jawapan:
Terima kasih kerana sudi bertanya. Bersyukur kepada ALLAH di atas limpah rahmat yang dianugerahkan kepada kita. Akikah merupakah salah satu perbuatan yang amat digalakkan dalam Islam. Perbuatan ini terdapat dalam hadis sahih dan amalan Rasulullah s.a.w.
Untuk makluman anda, akikah berbeza dengan cukur jambul. Tetapi, masyarakat kita selalu tersalah faham dengan kedua-dua majlis ini. Akikah ialah perbuatan menyembelih binatang ternakan sebagai tanda kesyukuran kepada ALLAH di atas kelahiran bayi yang baru pada hari ke 7, 14 atau 21 hari. Manakala, cukur jambul pula ialah perbuatan mencukur semua rambut bayi pada hari ketujuh kelahirannya.
Perbuatan menyembelih binatang akikah hanya disunatkan dalam Islam. Ini kernan ia adalah sunnah daripada Rasulullah s.a.w. ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w:
Maksudnya:
“Anak yang baru lahir hendaklah diakikahkan untuknya dengan menyembelih binatang pada hari ke tujuh. Pada hari itu juga diberikan nama-nama yang baik serta dicukur semua rambutnya.” (Hadis riwayat al-Tirmizi, al-Nasai, dan Abu Daud)
Tidak ada pendapat yang sahih mengatakan bahawa ia boleh dilakukan pada bila-bila masa. Kadang-kadang, ada orang yang menunaikan akikah ini walaupun umurnya sudah lanjut, sedangkan sunnah melakukan akikah semata-mata melahirkan rasa syukur ketika mendapat anak yang baru dilahirkan.
Tidak pernah thabit perbuatan para sahabat, apabila mereka kembali kepada Islam, mereka disuruh melakukan akikah. Ini kerana, akikah hanya dilakukan pada hari ketujuh sahaja. Tetapi, sebahagian ulama mengharuskan hingga ke hari 14 dan 21.
Pendapat kebanyakan ulama hanya mengharuskan untuk melewatkan akikah, tetapi dengan syarat ia masih kanak-kanak. Tetapi, kalau sudah dewasa, ia tidak termasuk sunnah dan hanya dikira sebagai sedekah biasa.
Jika bernazar seperti katanya: ‘Kalau ada rezeki, saya akan tunaikan akikah ini’ dia wajib menunaikannya walaupun telah dewasa. Jika tidak mampu, dia terlepas daripada kewajipan ini.
Manakala, kadar bilangan binatang yang digunakan mengikut jantina, iaitu lelaki dengan dua ekor kambing dan perempuan dengan seekor kambing.
“Diperintahkan melakukan akikah bagi anak lelaki dengan dua ekor kambing dan bagi anak perempuan seekor kambing.”(Hadis sahih riwayat al-Tirmizi, Abu Daud, al-Nasai dan Ibn Majah)
Selain itu, anda boleh makan daging akikah tersebut. Ini berdasarkan kepada hadis di bawah:
Aisyah r.a berkata mengenai daging akikah:“Agihkan ia. Kamu boleh makan dan buat lauk.”(Hadis riwayat Ibn Abi Syaibah dalam Musannaf)
Ibn Sirin dan Hasan al-Basri berkata:“Kedudukan akikah sama dengan binatang korban. Ia boleh dimakan dan dijadikan lauk pauk.” (Hadis riwayat Ibn Abi Syaibah)
Terdapat banyak perbuatan sunat boleh dilakukan pada majlis akikah itu. Antaranya,
1- TahnikTahnik ialah perbuatan membelah mulut bayi dengan manisan seperti kurma, kismis dan sebagainya. Perbuatan ini tergolong dalam sunnah Rasulullah s.a.w. ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w:
“Anak lelaki aku baru dilahirkan lalu aku bawa kepada Nabi s.a.w. Beliau menamainya dengan Ibrahim dan menyuapkan buah kurma ke dalam mulutnya (tahnik) serta mendoakan keberkatan buatnya. Setelah itu, dia mengembalikan anak itu kepadaku.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
2- Memberi nama
Kita disunatkan supaya memberi nama kepada bayi yang baru dilahirkan pada hari akikah tersebut. Oleh itu, berikanlah nama-nama yang terbaik untuk bayi anda. Janganlah mencipta nama yang terlalu moden sehingga anda sendiri tidak tahu maksudnya. Ini kerana, nama adalah doa pada seseorang.
“Anak yang baru lahir hendaklah diakikahkan untuknya dengan menyembelih binatang pada hari ke tujuh. Pada hari itu juga diberikan nama-nama yang baik serta dicukur semua rambutnya.” (Hadis riwayat al-Tirmizi, al-Nasai, dan Abu Daud)
3- Mencukur semua rambut
Kita disunatkan mencukur semua rambut bayi pada hari ketujuh kelahirannya. Terdapat kesilapan masyarakat kita pada hari ini. Mereka hanya mencukur jambul sahaja. Ini bukan perbuatan Rasulullah s.a.w. Baginda menggalakkan umatnya supaya mencukur semua rambut bayi yang baru lahir. Ini berdasarkan hadis di bawah:
Ali bin Abu Talib r.a berkata:
Maksudnya:
“Rasulullah s.a.w telah mengakikah untuk cucunya al-Hasan dengan seekor kambing. Kemudian baginda bersabda: Wahai Fatimah, cukurlah rambutnya dan sedekahkan meningikut timbangan berat rambutnya dengan harga perak. Aku (Ali) berkata: Berat timbangan itu ialah satu dirham atau setengah dirham.”(Hadis riwayat al-Tirmizi)
4- Khitan (bersunat) kerana menjaga kebersihan anak-anak daripada najis.
“Fitrah sebagai seorang Muslim lima: berkhitan, cukur ari-ari, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan memotong misai.”(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
dipetik dari website:http://www.alaf21.com.my/buletin_isnin/SJ_agama/default7.htm